-:: Selsema Burung ::-

Apa itu selesema burung?

Apa itu selesema burung ?

Selesema burung ialah penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian terutama kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda

Apakah yang menyebabkan penyakit ini?

Selesema burung disebabkan oleh virus avian influenza (AI) yang biasanya boleh berjangkit kepada burung, kadang kala kepada babi dan jarang-jarang kepada kuda, anjing laut, ikan paus, manusia dan juga lain-lain binatang.  Terdapat banyak jenis subtypes virus AI, misalnya H5N1.

Dari mana datangnya virus ini?

Virus ini telah wujud  lebih dari se abad yang lalu dan wujud secara semulajadi dikalangan burung-burung liar yang selalunya tidak mengalami penyakit kesan dari virus tersebut

Kenapa ketika ini selesema burung membimbangkan?

Subtype H5N1 yang mula-mula dikesan pada tahun 1997 tersebar dikalangan burung-burung di seluruh dunia pada masa kini.  Semenjak 2003 ianya telah merebak di Negara-negara Asia dan Eropah yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada ayam itik dan burung liar.  Lebih 200 juta ekor ayam itik dan burung liar telah mati atau dibunuh disebabkan oleh virus ini semenjak tahun 1997.  Virus H5N1 juga boleh berjangkit kepada manusia dalam keadaan tertentu

Dimanakah H5N1 telah dilaporkan?

Virus H5N1 telah dilaporkan di beberapa Negara tetapi pada masa ini aktif di China, Cambodia, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Kazakhstan, Mongolia, Russia, Turkey, Romania dan lain-lain negara. 

Adakah penyakit selesema burung di Malaysia?

Malaysia bebas dari penyakit selesema burung sehingga Ogos 2004 apabila kes pertama dikesan di Kelantan. Penyakit ini telah berjaya di benteras dengan segera dan Malaysia diiktiraf bebas dari penyakit ini pada 5 Januari 2005.  Kes terpencil sekali lagi dilaporkan kira-kira satu tahun kemudian di Kuala Lumpur yang sedang dibasmikan.

Apakah tanda-tanda penyakit selesema burung pada unggas?

·         Murung dan kurang selera

·         Batuk, bersin dan lelehan dari hidung

·         Bengkak di kepala, balung, pial dan kaki

·         Balung, pial dan kaki berubah warna kepada ungu

·         Cirit berwarna kehijauan

·         Pengeluaran telur jatuh

·         Dalam kes yang teruk kematian mengejut berlaku dan kadar kematian tinggi

Bagaimana penyakit ini merebak?

·         Burung hijrah

·         Pergerakan unggas yang terjangkit.

Bagaimana unggas mendapat jangkitan?

Virus terdapat dalam najis, air liur dan lelehan dari hidung unggas yang terjangkit.  Unggas boleh dijangkiti apabila tersentuh dengan benda-benda ini, dengan unggas yang mati, makanan, air, peralatan, kenderaan dan lain-lain benda yang tercemar.

Apakah risiko jangkitan berlaku kepada manusia?

Virus avian influenza biasanya tidak akan menjangkiti manusia tetapi orang boleh terjangkit apabila sentiasa bersentuhan rapat dengan unggas terjangkit dan najisnya.  Hanya 140 kes yang dilaporkan pada manusia, kebanyakkannya di Asia Tenggara (Vietnam, Thailand, Indonesia, Cambodia dan China) dengan 70 kematian, walaupun jangkitan ini tersebar luas pada unggas dan burung liar.

Siapakah yang berisiko?

Orang-orang yang bekerja dikalangan burung dan ayam itik, di rumah sembelih dan yang mengendali daging mentah dan baja (najis ayam) menghadapi risiko jangkitan. Langkah-langkah pencegahan ialah:

·         Guna pakaian perlindungan yang lengkap (sarung tangan, gogal, kasut but, topeng, cover-all)  

·         Sentiasa membasuh tangan

·         Kendali daging mentah dan produk dengan bersih

Adakah daging ayam selamat untuk dimakan?

Daging ayam itik dan telur yang dikeluarkan secara komersial di Negara ini adalah selamat untuk dimakan.  Kes yang terjadi di Negara kita adalah terhad kepada ayam yang lepas bebas.  Malah tidak ada bukti bahawa dengan memakan daging ayam itik dan telur boleh menyebabkan penyakit selesema burung, namun adalah wajar daging dan telur dimasak secukupnya.  Produk mentah perlu dikendalikan secara bersih terutama di tempat berlakunya wabak.

Apakah yang dilakukan oleh kerajaan kita?

Semenjak akhir tahun 2003, disebabkan ancaman dari burung hijrah dan penyeludupan di sempadan , survelan di Negara kita diperhebatkan untuk mengesan dan membasmi virus secepat mungkin. Kawalan sempadan dan pemeriksaan veterinar di pintu masuk diperkukuhkan.

Apakah yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH)?

Selain dari memperketatkan pintu-pintu masuk negara, strategi kawalan penyakit ialah untuk mengesan virus AI dengan cepat dan mengambil tindakan segera untuk membasmi jangkitan dan mencegah wabak. Langkah-langkah yang diambil untuk mengesan virus ialah:

·         Survelan klinikal dan virologikal di ladang-ladang ayam, itik, puyuh dan lain-lain ladang, burung yang diimport, kedai haiwan kesayangan, burung hijrah, zoo, aviary, ayam kampong, ayam sabung, kawasan sempadan, pasar, rumah sembelih dan lain-lain

·         Sampel diambil secara berkala di semua premis ini untuk ujian di makmal

·         Kadar kematian lebih dari 3% wajib dilaporkan ke JPH

·         Larangan import dari Negara yang dijangkiti

·         Siasatan serta merta jika ada laporan kematian pada unggas

Apakah yang harus dilakukan oleh penternak ayam itik dan lain-lain premis unggas di dalam mencegah jangkitan?

·         Kebersihan dan biosekuriti ladang sangat penting

·         Penggunaan jaring kalis burung di bangsal ayam itik supaya burung liar tidak dapat masuk ke bangsal

·         Beli stok ayam itik  dari sumber yang boleh dipercayai

Apakah yang perlu saya lakukan sebagai seorang awam untuk membantu ?

·         Lapor serta merta kepada JPH jika terdapat unggas yang sakit atau mati

·         Jangan melupus sendiri unggas atau ayamitik yang mati

·         Jangan memberi makanan kepada burung-burung liar

·         Jangan impot atau membawa burung, daging ayam itik atau baja tanpa kebenaran dari pihak JPH

·         Jangan membeli atau membawa balik burung haiwan kesayangan ke rumah tanpa pemeriksaan dari doktor veterinar

·         Jika burung haiwan kesayangan anda sakit sila bawa ke doktor veterinar serta merta

·         Jika iannya menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti yang disebutkan diatas sila lapor ke JPH

·         Lapor ke JPH jika anda mengetahui berkenaan penyeludupan burung atau daging secara haram

·         Jangan menyertai pertandingan ayam laga atau apa-apa pertandingan burung yang haram

·         Lapor ke JPH jika anda mengetahui berkenaan pertandingan ayam laga